Latar Belakang

White Resort Camp dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat bumiputera NWC Enterprise. Penubuhan asalnya adalah bertujuan untuk kegunaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari tahun 2008 sehingga tahun 2018 dan kem ini dikenali sebagai Kem PLKN White Resort. 

Kem ini telah dibuka untuk pengambilan pelatih PLKN bermula dari Kumpulan 1, Siri 5 pada 28 Disember 2007. Walau bagaimanapun, bermula tahun 2019, Kem PLKN White Resort telah dijenamakan semula sebagai White Resort Camp. Lokasi kami beroperasi di alamat Mukim 7 & J, Kampung Genting, Daerah Barat Daya, 11000, Balik Pulau, Pulau Pinang.

White Resort Camp telah dibangunkan di atas sebidang tanah yang berkeluasan 40 ekar. Kem ini berada pada kedudukan lokasi yang strategik, di mana ianya terletak 5 KM dari Pekan Balik Pulau,15 KM dari Lapangan Terbang Bayan Lepas dan 38 KM dari Georgetown.

Selain daripada itu, kem ini juga di kelilingi oleh kawasan dusun durian dan berdekatan dengan Pulau Betong yang merupakan lokasi pendaratan dan pengumpulan ikan segar di Balik Pulau. Kedudukan kem yang berhampiran dengan kaki Bukit Genting juga menawarkan panorama yang indah, dingin dan berkabus.

Kem ini memiliki prasarana penginapan dan elemen latihan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan sehingga mampu menampung penginapan seramai 1000 orang dalam satu masa.

Sepanjang kem ini beroperasi, kami telah melaksanakan pelbagai latihan kepada peserta- peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, organisasi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat dan syarikat swasta.

Tenaga pengajar kami terdiri daripada barisan Jurulatih yang berpengalaman dan pakar dalam bidang latihan indoor serta outdoor. Justeru itu, kami berkeyakinan dalam menyokong anda untuk melalui setiap aktiviti dengan bersemangat.